Doakan juga keselamatan rakyat Malaysia , saudara mara dan juga sahabat handai yang terjejas akibat banjir....Al Fatihah...bagi yang mampu, anda boleh membantu menjadi sukarelawan dengan badan NGO berdaftar atau menyumbang derma di pusat-pusat sumbangan derma yang sah.
Berita sehingga Isnin, 29/12/2014
JUMLAH MANGSA BANJIR TERKINI 225,731 ORANG -Banjir di Kelantan masih belum berkurangan apabila mangsa banjir di
negeri paling terjejas teruk akibat bencana itu meningkat kepada 151,072
orang berbanding 134,139 malam tadi, kata Pengarah Jabatan Kebajikan
Masyarakat Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman.
Beliau berkata, mangsa banjir daripada 36,128 keluarga ditempatkan di 309 pusat pemindahan melibatkan lapan daerah.
Jajahan Kota Baharu masih mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir
iaitu 44,061 orang, Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai
(23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546) dan
Pasir Puteh (192).
Mangsa banjir turut bertambah di Pahang dan Perak pagi ini, dengan
Pahang catat 33,225 orang berbanding 31,095 malam tadi sementara Perak
7,813 orang berbanding 7,539 malam tadi
Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Johor turun pagi
ini, dengan Terengganu catat 33,292 orang berbanding 36,210 malam tadi,
dan Johor 328 orang berbanding 332 malam tadi.
Jabatan Meteorologi semalam turut mengeluarkan amaran angin kencang dan
laut bergelora kategori kedua melanda perairan Kelantan, Terengganu,
Pahang dan timur Johor yang dijangka berterusan sehingga hari ini.
Angin kencang Timur Laut itu berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan
ombak mencapai ketinggian 4.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti
pantai dan perkapalan.
Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang
juga terdedah kepada kenaikan paras air laut sehingga hari ini.
Jumlah mangsa banjir di enam negeri terjejas, Kelantan, Pahang,
Terengganu, Perak, Johor dan Selangor pagi ini adalah 225,731 orang.
Di Pahang, jumlah mangsa terus meningkat kepada 33,225 orang berbanding 31,095 mangsa semalam.
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Pahang, setakat 9 pagi ini, Temerloh kekal menjadi daerah mangsa banjir
paling ramai iaitu 12,012 orang yang ditempatkan di 71 pusat pemindahan.
Enam daerah lain ialah Kuantan membabitkan 3,046 mangsa yang ditempatkan
di 17 pusat pemindahan, Pekan (4,873 mangsa di 17 pusat pemindahan),
Maran (3,479 mangsa di 33 pusat pemindahan), Jerantut (6,025 mangsa di
59 pusat pemindahan), Bera (1,491 mangsa di 14 pusat pemindahan) dan
Lipis (2,299 mangsa di 31 pusat pemindahan).
Sehingga kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bagi laluan kedua-dua arah
Kuantan-Kuala Lumpur dan jalan lama masih ditutup kepada lalu lintas.
Orang ramai yang menuju ke Kuantan dari Kuala Lumpur diminta menggunakan
jalan alternatif melalui Seremban-Kuala Pilah-Serting-Muadzam
Shah-Kuantan dan sebaliknya.
Di Perak jumlah mangsa terus meingkat kepada 7,813 mangsa berbanding 7,539 mangsa malam tadi.
Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, semua mereka
ditempatkan di 54 pusat pemindahan iaitu 22 di Kuala Kangsar, Perak
Tengah (20), Hulu Perak (11) dan Kerian (satu).
Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir setakat ini adalah sebanyak 4,220 orang.
Kuala Kangsar yang merangkumi kawasan Sungai Siput mencatat jumlah
mangsa banjir sebanyak 2,565 manakala di Hulu Perak sebanyak 738 dan
Kerian (290) mangsa.
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,260 orang berbanding 36,210 malam tadi.
Di Kemaman masih tinggal 22,214 mangsa manakala hampir 3,000 mangsa
dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan air beransur
surut.
Di Dungun masih terdapat 10,138 mangsa, Kuala Terengganu (759) orang dan Hulu Terengganu (149) mangsa.
Jumlah pusat pemindahan di Terengganu juga menurun daripada 88 malam
tadi kepada 79 pagi ini, iaitu Dungun 34, Hulu Terengganu (empat),
Kemaman (35) dan Kuala Terengganu (enam).
Sementara Johor mencatatkan sedikit penurunan mangsa banjir iaitu empat
orang, dengan seramai 328 mangsa direkodkan pagi ini berbanding 332
mangsa malam tadi.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, sembilan pusat
pemindahan menempatkan 85 keluarga masih dibuka iaitu di satu di Muar,
Batu Pahat (dua) dan masing-masing tiga di Segamat dan Kluang.
Jalan Kampung Asli Sedohok di Kahang, Kluang masih belum boleh dilalui, menurut pusat kawalan terbabit.
Sementara di Selangor, hujan lebat berterusan pada Sabtu lepas
menyebabkan beberapa kampung di Klang, antaranya Kampung Budiman, Meru
dan Kampung Sementa, Kapar mengalami banjir kilat melibatkan 33 mangsa.
Semua mangsa daripada sembilan keluarga itu ditempatkan di pusat
penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai lapor The
Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment