Menghadapi kematian
SETIAP hari kita mendapat maklumat mengenai kematian yang meragut nyawa manusia di mana saja dengan sebab berbeza. Sesungguhnya kematian itu satu kepastian yang akan menghampiri setiap manusia, di mana saja dan bila-bila saja.Namun, secara umum pembicaraan mengenai kematian bukan sesuatu yang menyenangkan. Bahkan naluri manusia cenderung ingin hidup seribu tahun. Al-Quran melukiskan keinginan sekelompok manusia untuk hidup selama mungkin dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu akan mendapati mereka seloba-loba manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) daripada orang- orang musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al Baqarah: Ayat 96).
Banyak faktor menyebabkan orang takut kepada kematian. Ada orang takut mati kerana tidak mengetahui apa yang dihadapinya selepas kematian. Mungkin juga kerana mereka berasa apa yang dimiliki sekarang lebih baik daripada yang akan dihadapi nanti. Ada juga kerana membayangkan betapa sulit dan pedihnya pengalaman mati dan sesudah mati.
Mungkin juga kerana khuatir memikirkan atau prihatin terhadap keluarga yang ditinggalkan atau kerana tidak mengetahui makna hidup dan mati hingga mereka berasa cemas menghadapi kematian. Dari sini lahirlah pandangan optimis dan pesimis terhadap kematian dan kehidupan.
Melalui pengalamannya, manusia tidak mampu mengetahui hakikat kematian kerana ia satu daripada persoalan ghaib paling besar.
Sungguhpun demikian, apabila melihat bagaimana kematian meragut nyawa manusia yang hidup, terutama orang paling dekat dan dicintai, seseorang itu semakin terdorong untuk mengetahui hakikatnya, atau paling tidak ketika itu terlintas dalam benaknya suatu hari nanti mereka juga akan merasai kematian.
Manusia memahami kematian tidak memilih usia atau tempat. Ia juga tidak boleh ditangguhkan sehingga semua keinginan dipenuhi. Kematian boleh menimbulkan ‘cemas’ apatah lagi bagi mereka yang menganggap hidup di dunia hanya sekali.
Islam mengajar ada kehidupan sesudah kematian. Kematian adalah yang awal daripada suatu perjalanan panjang dalam kehidupan manusia. Selepas itu mereka akan memperoleh kehidupan sama ada dengan pelbagai kesenangan atau pelbagai seksaan.
Al-Quran menilai kematian sebagai musibah malapetaka. Istilah itu lebih banyak ditujukan kepada manusia yang durhaka. Kematian adalah musibah bagi orang yang mati tanpa membawa bekalan yang cukup untuk kehidupan akhirat.
Kematian juga dikemukakan al-Quran dalam konteks menghuraikan nikmat Allah kepada manusia. Dalam surah Al Baqarah ayat 28 Allah bertanya kepada orang kafir: “Bagaimana kamu mengingkari (Allah) sedangkan kamu tadinya mati kemudian dihidupkan (oleh-Nya) kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya.” (Surah Al Baqarah: Ayat 28).
Nikmat daripada kematian bukan saja dalam kehidupan ukhrawi bagi orang yang beriman, tetapi dalam kehidupan dunia kerana tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan dunia yang terbatas kawasannya ini jika manusia hidup terus-menerus tanpa mengalami kematian.
Mengenai kehidupan selepas kematian, Muhammad Iqbal, seorang pemikir Pakistan berkata mustahil sama sekali bagi manusia yang mengalami perkembangan jutaan tahun untuk dilemparkan begitu saja bagaikan barang yang tidak berharga.
Dalam hal ini, al-Quran menegaskan: “Maha Suci Allah yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya seluruh kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalnya dan sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Pengampun.” (Surah Al Mulk: Ayat 1).
Menyedari hakikat ini, jelaslah kematian dalam pandangan Islam bukan sesuatu yang buruk kerana di samping mendorong manusia meningkatkan pengabdian terhadap Ilahi di dunia, kematian juga pintu gerbang untuk memasuki kebahagiaan abadi serta mendapatkan keadilan sejati.
Namun sebaliknya, bagi sesetengah orang, kematian adalah suatu hal yang mengerikan dan menakutkan.
Dua sikap berbeza itu muncul kerana perbezaan amal manusia dalam kehidupan di dunia. Kematian mempunyai peranan besar dalam memantapkan akidah serta menambahkan semangat pengabdian kepada Allah. Tanpa kematian, manusia tidak akan berfikir apa yang akan terjadi sesudah mati dan tidak akan mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
Dalam mengingati kematian, Al Ghazali membahagikan manusia kepada tiga tingkatan iaitu:
i. Al Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Ia tidak ingat kematian dan enggan untuk diingatkan mengenai kematian. Jika diingatkan pula, akan menjauhkannya daripada Tuhan. Orang seperti ini kurang mempersiapkan bekal untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.
ii. At Taib, iaitu orang yang selalu bertaubat memohon keampunan daripada Allah. Ia banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan di akhirat. Kalaulah tidak menyukai kematian tidak lain kerana mereka khuatir bekalan yang dipersiapkan belum cukup hingga dalam keadaan demikian takut menghadap Allah.
iii. Al ‘Arif, iaitu orang yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Ia sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian kerana baginya kematian adalah detik pertemuan dengan Allah, Zat yang selama ini dicintai selain memiliki persiapan untuk menghadapi kematian.
Menurut pandangan ulama, mengingati kematian di samping dapat meringankan beban duniawi, mampu melembutkan hati manusia.
Kesombongan, pergaduhan, pertumpahan darah, ketidakadilan serta perilaku negatif wujud akibat kehilangan kelembutan hati.
Mengingati kematian turut mendorong tindakan positif. Manusia akan mengisi hidup yang singkat dengan perkara kebaikan sama ada pada peringkat peribadi, masyarakat, bangsa dan agama.
Sesungguhnya, apabila kematian menjenguk seseorang, tanah dan pasir akan menjadi tempat tidurnya. Munkar dan Nankir menjadi temannya. Kubur menjadi tempat tinggalnya. Hari kiamat menantinya dan syurga atau neraka tempat kembali.
Firman Allah bermaksud: “Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al Munafiqun: Ayat 11)
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/104/Menghadapi-kematian
No comments:
Post a Comment